PONTIAN, 12 Mac — Kadar 50 peratus mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat 4 petang tadi berbanding sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini 70 peratus berkemungkinan disebabkan kebimbangan terhadap jangkitan COVID-19.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kebimbangan terhadap COVID-19 telah menyebabkan pengundi tidak begitu bersemangat untuk mengundi dalam PRN kali ini.

“Kita mendapati bahawa ramai pengundi golongan dewasa mungkin (tidak keluar mengundi) atas sebab bimbang jangkitan COVID-19.

“Mereka tidak begitu ghairah untuk keluar mengundi dan ini adalah dalam kalangan semua kaum Melayu, Cina, India. Warga tua tidak begitu ramai yang keluar mengundi mungkin atas sebab kesihatan,” kata calon Barisan Nasional itu selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Raja, Pekan Nanas, hari ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu tiba di sekolah berkenaan pada 4.05 petang dan selesai mengundi 15 minit selepas itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here