KUALA LUMPUR, 29 Mac — Pameran Makanan dan Hotel Malaysia (FHM) 2022 edisi ke-16 yang bermula hari ini hingga 1 April, bertujuan membantu sektor perniagaan bangkit daripada kesan pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya  Datuk Seri Nancy Shukri berkata sektor berkenaan harus mempertingkatkan perkhidmatan mereka bagi memastikan pelanggan berpuas hati, selain melaksanakan amalan yang lebih sihat dan mampan untuk menjadi warga korporat yang bertanggungjawab ketika negara sedang menuju ke arah pembukaan sempadan antarabangsa pada April ini.

“Prospek untuk melakukan semua ini dan banyak lagi untuk perniagaan anda boleh diperoleh di FHM 2022, jadi jangan lepaskan peluang keemasan ini,” katanya dalam ucapan perasmian “FHM 2022 Trade Event” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia juga harus mengambil pendekatan bekerjasama dalam mencari idea, teknologi dan penyelesaian yang boleh membantu meningkatkan serta mempromosikan industri makanan dan hospitaliti negara.

“Kita sekarang memasuki apa yang dipanggil Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO) sebagai fasa pemulihan, dengan hampir seluruh sektor ekonomi dibuka semula sepenuhnya dan ekonomi negara berada di landasan untuk pulih… saya pasti kita semua teruja untuk mengalu-alukan kedatangan semula pelancong ke Malaysia,” katanya.

Dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia, acara itu menampilkan pembabitan 200 jenama termasuk  FrieslandCampina Professional, Pastry Pro, Bidfood Malaysia dan Global Pacific Victory, yang bersedia untuk mengalu-alukan kehadiran lebih 8,000 pengunjung sepanjang minggu ini.

Pengerusi Bersama Informa Markets Asia Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang empat hari acara berlangsung yang memberikan pengalaman positif dan menarik  kepada peserta pameran, penaja dan para peserta lain.

Dua acara sampingan yang ditunggu ramai adalah “Battle of the Chefs” oleh Culinaire Malaysia dan Makmal Inovasi Pastri yang menampilkan chef pastri terkemuka Malaysia menghasilkan pencuci mulut dan pastri kemegahan mereka.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Informa Markets Asia Margaret Ma berkata FHM 2022 juga akan menampilkan pencapaian baharu dalam aplikasi dan teknologi Industri 4.0, Automasi, Robotik dan Internet Benda (IoT) yang memberi peluang kepada pemain industri bersaing dengan inovasi terkini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here