KUALA LUMPUR, 29 Mac — Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk menyokong mana-mana idea yang akan membantu mentransformasikan sistem penjagaan kesihatan negara demi kebaikan rakyat, terutama dalam fasa endemik COVID-19.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata komitmen ini selaras dengan matlamat kementerian itu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik dan untuk rakyat Malaysia menikmati kehidupan yang sihat.

“Kita juga perlu menyesuaikan diri kepada perubahan pantas era teknologi dengan tidak takut kepada perubahan tetapi menerimanya. Semua industri yang berjaya menerima perubahan dengan tangan terbuka dan industri penjagaan kesihatan negara juga perlu begitu,” katanya ketika merasmikan Forum Hospital Masa Depan dan Pembangunan 2022 di sini hari ini.

Dr Noor Azmi berkata ekonomi negara telah berkembang pesat, maka, sudah tiba masanya untuk industri penjagaan kesihatan menterjemahkan kejayaan ini dengan menyediakan sistem penjagaan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Kita mahu mempunyai hala tuju yang efektif yang akan membantu kita memenuhi keperluan negara dan memulihkan kerosakan akibat pandemik yang berlaku sekali dalam seabad itu.

“Justeru, kita perlu memanfaatkan sepenuhnya sinergi dan kesinambungan yang dicipta oleh proses-proses berkaitan, serta kesepakatan dan kolaborasi yang dipermudahkan oleh proses-proses ini. Marilah kita bekerjasama untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang paling berdaya tahan dalam sejarah negara,” tambahnya.

Dr Noor Azmi turut menyifatkan forum, dengan tema “The Future Awakens, A Revolution in Healthcare Ecosystems’ (Kebangkitan Masa Depan, Satu Revolusi dalam Ekosistem Penjagaan Kesihatan) dan dihadiri lebih 250 peserta itu sebagai tepat pada waktunya, memandangkan rakyat kini hidup dalam era kemuncak pemodenan serta urbanisasi dan perubahan itu perlu diambil kira dalam sistem penjagaan kesihatan. 

“Penjagaan kesihatan berperanan sebagai asas utama untuk suatu negara pintar dan kita haruslah memberi penekanan pada bagaimana kita boleh mengintegrasikan industri penjagaan kesihatan kita dengan teknologi terkini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here