SHANGHAI, 5 April — Pelabuhan Shanghai beroperasi seperti biasa bagi menjamin kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan di kawasan Delta Sungai Yangtze, China serta seluruh dunia.

Menurut Kumpulan Pelabuhan Antarabangsa Shanghai (SIPG), beberapa strategi telah digunakan untuk memastikan pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 dan pengoperasian pelabuhan berjalan seperti biasa. 

Data pemantauan menunjukkan kerja memuat dan memunggah kargo tidak terjejas di pelabuhan itu sejak Februari.

Ketua Pusat Pembangunan Pasaran SIPG, Chen Lan pada Ahad berkata sejumlah 52 kapal sedang menunggu untuk dikendalikan, termasuk sembilan kapal kontena dengan empat antaranya sedang menunggu giliran berlabuh.

“Maklumat yang diumumkan Kumpulan Maersk dan syarikat-syarikat lain pada Mac menunjukkan tempoh menunggu di pelabuhan negara-negara Asia secara amnya adalah kira-kira satu dan dua hari, namun masa menunggu di pelabuhan Shanghai lebih pendek berbanding pelabuhan itu,” kata beliau.

Chen berkata demikian sebagai mengulas khabar angin yang mendakwa lebih 300 kapal masih menunggu untuk memuat dan memunggah kargo di Pelabuhan Shanghai.

Difahamkan, beberapa langkah turut diambil untuk memastikan pengoperasian yang stabil dan lancar, serta kecekapan logistik di pelabuhan itu. 

Ini termasuk mengoptimumkan sistem pengangkutan, menggunakan semula kontena kosong, mempelbagaikan model pengangkutan dan pengeluaran pantas pas kawalan pandemik untuk trak kontena.

Meskipun berdepan waktu sukar tatkala industri perkapalan global terkena tempias penularan pandemik COVID-19, Pelabuhan Shanghai tetap dinilai sebagai pelabuhan kontena terbesar di dunia selama 12 tahun berturut-turut.

Untuk rekod, pada 2021, daya pemprosesan kontenanya direkodkan melebihi 47 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here