KUALA LUMPUR, 5 April — Majlis Presiden Pakatan Harapan memberikan komitmen penuh bahawa kesemua Ahli Parlimen pakatan akan memberikan sokongan bagi tujuan meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan  Persekutuan (Anti Lompat Parti) yang dibentang pada sidang khas Dewan Rakyat minggu depan. 

Menurut kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini pimpinan utama pakatan itu telah mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan rang undang-undang itu yang dijadualkan pada 11 April. 

“Perdana Menteri telah memberikan komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April seperti mana yang telah diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen,” katanya. 

Kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agong DAP Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau. 

Menurut kenyataan itu, dalam pertemuan hari ini Anwar sebagai Ketua Pembangkang turut membangkitkan isu MySejahtera yang dimiliki sebuah syarikat negara asing.

Kenyataan itu menyebut isu berkenaan perlu diberi penjelasan penuh kepada Dewan Rakyat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here