KUALA LUMPUR, 5 April — Proses perolehan secara tender terbuka untuk program Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia masih berjalan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. 

Dalam catatan di Twitter hari ini, Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) komited untuk menyediakan peranti berkualiti dan daripada jenama diyakini pengguna. 

“Seperti saya maklumkan, foto di tweet saya hanyalah sekadar hiasan,” katanya merujuk kepada gambar peranti yang dimuat naik dalam catatan di twitter beliau pada Ahad lepas. 

Sebelum ini, gambar peranti tersebut mendapat perhatian dan komen daripada orang ramai yang mempersoalkan kualiti, jenama, spesifikasi dan ketahanan peranti itu. 

Dalam catatan Ahad lepas, Annuar berkata K-KOMM sedang bekerja keras menyiapkan portal permohonan dalam talian bagi program Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang dijangka dibuka pada 15 April ini. 

Jelasnya urusan perolehan juga sedang diuruskan K-KOMM dan Kementerian Kewangan.

Pakej PerantiSiswa adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi (IPT).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here