KUALA LUMPUR, 15 April — Program ePemula dijangka memberi impak kepada perbelanjaan pengguna berikutan kredit e-tunai RM150 berkemungkinan besar akan dibelanjakan untuk barangan yang boleh didapati dalam talian, kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid. 

Beliau berkata kredit e-tunai untuk belia, akan dibelanjakan hampir serta-merta dan ini akan membantu merangsang ekonomi melalui perbelanjaan pengguna.

“Oleh itu, akan terdapat kesan berganda, pembelian dalam talian ini akan memberi manfaat kepada perniagaan berikutan mereka mendapat jualan daripada penerima ePemula. Jumlah peruntukan sebanyak RM300 juta. Ia ternyata akan memberi kesan limpahan yang positif,” katanya kepada Bernama.

Bagi perniagaan luar bandar yang masih belum memanfaatkan e-dagang, katanya kerajaan mungkin perlu meningkatkan kesedaran mengenai faedah daripada e-dagang.

“Percambahan e-dagang amat ketara semasa pandemik. Saya rasa tahap penerimaan adalah baik berikutan penduduk luar bandar dapat melihat dengan mudah manfaat sebenar.

“Mungkin kini kita perlu menggalakkan mereka mengembangkan jejak elektronik atau siber mereka melalui latihan dan kempen kesedaran,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk ePemula, inisiatif untuk menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar di institusi pengajian tinggi.

Melalui program itu, RM150 akan dikreditkan ke dalam e-dompet kira-kira dua juta belia. 

Individu yang layak akan menerima e-kredit melalui e-dompet yang dipilih iaitu ShopeePay, BigPay, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet.

Platform e-dagang beri manfaat kepada pengguna 

Ketua Pegawai Eksekutif GrabPay Malaysia Priyanka Madan berkata bagi melengkapkan kredit bernilai RM150 daripada kerajaan, GrabPay telah menambah baucar tunai sebanyak RM210.

“Sejajar dengan teras ePemula, kami membahagikan kredit RM150 tersebut kepada baucar tunai dalam denominasi lebih kecil untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pemohon yang layak untuk berbelanja dengan berhemah dan memanfaatkan pelbagai perniagaan memandangkan mereka berusaha meraih semula jualan luar talian sambil menerima kebaikan ekonomi digital.

“Dalam tempoh tiga hari pertama pelancaran program ini, kami mendapati denominasi baucar tunai yang sering digunakan oleh pemohon yang layak adalah RM20 dan RM10, terutamanya untuk produk makanan, kesihatan dan kecantikan serta keperluan isi rumah. 

“Perbelanjaan mereka telah memanfaatkan hampir empat ribu peniaga GrabPay di seluruh negara,” katanya.

Menurut Priyanka, sejak pelancaran e-dompet GrabPay, GrabPay telah membantu ribuan perniagaan mikro, kecil dan sederhana untuk beralih kepada dalam talian dan menerima pembayaran tanpa tunai sebagai medium untuk menangani sekatan kawalan pergerakan.

“Sebelum ePemula, GrabPay turut menyokong usaha yang diterajui kerajaan seperti ePenjana, ‘Shop Malaysia Online’ (SMO) dan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) untuk mendigitalkan ribuan perniagaan kecil dan membantu mereka memanfaatkan ekonomi digital di samping menggalakkan perbelanjaan pengguna,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go (TNG) Digital Sdn Bhd Alan Ni berkata TNG sentiasa sejajar dengan pendekatan kerajaan untuk memastikan generasi Malaysia pada masa depan meraih faedah menerusi sokongan kewangan dan saluran transaksi yang lebih selamat.

Sehubungan itu, beliau berkata belia yang menuntut kredit ePemula bernilai RM150 melalui Touch ‘n Go eWallet akan diberikan baucar bernilai lebih RM200 daripada rakan peniaga.

“Kami mempunyai rangkaian peniaga runcit fizikal terbesar, yang mana belia dan pelajar boleh menggunakan kredit yang dituntut kepada lebih 25 jenama termasuk secara dalam talian, runcit, makanan dan minuman (F&B), telco dan pengangkutan,” katanya.

Masa untuk menambah baik perniagaan digital kepada e-dagang

Industries Unite, gabungan 120 persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia berkata program ePemula adalah idea yang baik kerana perniagaan mendapat faedah melalui perbelanjaan menerusi dana daripada e-dompet.

Pengasas Bersamanya, Datuk David Gurupatham berkata bagaimanapun perniagaan harus memperbaiki atau memulakan pendigitalan kepada e-dagang dengan segera bagi memberi kesan ke atas perniagaan mereka.

“Kerajaan juga boleh memikirkan secara serius tentang pendigitalan dan menjadikan koperasi lebih cekap. Mengehadkan pembelian kepada kedai “mom and pop’’ (perniagaan kecil, milik keluarga atau bebas) dan barangan keperluan. Dalam platform digital dan sistem tempat jualan (POS) dibangunkan untuk perniagaan kecil dan mikro ini,” katanya.

Beliau berkata kredit e-tunai hanya boleh digunakan untuk pembelian luar talian apabila kebanyakan corak perbelanjaan belia ini adalah dalam talian, terutamanya di kawasan yang tidak banyak perniagaan yang menerima nilai digital.

“Di kawasan luar bandar, golongan belia mungkin sukar untuk menggunakan kredit ini untuk pembelian luar talian. Bagaimanapun, ia dapat menggalakkan orang ramai terutamanya generasi akan datang untuk beralih kepada pasaran tanpa tunai yang mungkin satu perkara yang baik,” katanya.

Beliau berkata China mengamalkan pembayaran tanpa tunai sejak sedekad yang lepas dan hari ini hanya beberapa orang di China yang menggunakan wang tunai — justeru, dalam jangka panjang, ia merupakan petunjuk yang baik daripada kerajaan.

PKS perlu daftar lesen ID e-dompet dengan peniaga  

Mengulas sentimen itu, Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong berkata program ePemula mampu memberi kesan positif kepada PKS berikutan belia boleh menggunakan insentif itu untuk isi rumah dan barangan keperluan.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat beberapa PKS yang tidak terdedah atau bersedia untuk menggunakan e-dompet atau dagangan tanpa tunai.

Oleh itu, Chin mencadangkan PKS mendaftar sebagai peniaga e-dompet sebagai persediaan untuk pendigitalan masyarakat melalui transaksi pembelian.

“Mereka hanya perlu mendaftar dengan peniaga e-dompet untuk mendapatkan lesen ID yang amat memudahkan.

“Bagi PKS mikro yang tidak terdedah dengan ini (e-dompet), mungkin memberi pendidikan kepada mereka untuk mendaftar lesen e-dompet sebagai peniaga adalah baik untuk syarikat dan usahawan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMEA) Datuk William Ng berkata pendigitalan dan automasi penting untuk PKS berikutan apabila Malaysia memasuki fasa endemik, cabaran untuk kebanyakan PKS adalah kurang mengenai aliran tunai dan lebih kepada menambah baik margin yang kecil.

“Kami melihat ramai ahli kami beralih kepada dalam talian dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Kami gembira dengan inisiatif kerajaan untuk memacu digitalisasi melalui inisiatif ePemula. Ini membantu mengurangkan kenaikan kos dan menggalakkan penggunaan pembayaran digital yang lebih pesat dalam kalangan vendor terutamanya PKS,” katanya.

William berkata pembelian yang dihadkan melalui ePemula kepada kedai fizikal merupakan langkah penting untuk sektor runcit serta makanan dan minuman untuk pulih dan berkembang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here