TAPAH, 15 April — Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S.Saravanan hari berkata kenaikan kadar gaji minimum RM1,500 yang dijadualkan berkuat kuasa 1 Mei ini, mengambil kira keadaan ekonomi semasa. 

Ahli Parlimen Tapah itu berkata ini berdasarkan perkembangan semasa syarikat atau sektor masing-masing selain wujud permintaan tinggi terhadap pekerja asing melebihi 500,000 orang yang diterima pihaknya sebelum ini.

“Kalau ekonomi tidak begitu baik, bagaimana boleh ada permintaan untuk 519,000 pekerja asing? You can’t play hot and cold.

“Walaupun masih ditapis dan tidak luluskan semua tetapi inilah keadaan semasa,” katanya selepas menyerahkan zakat wakalah kepada 18 masjid dan 79 surau dalam Parlimen Tapah anjuran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran di sini hari ini.

Beberapa pemain industri termasuk persatuan restoran dan pembuatan dilapor meminta kerajaan memberikan masa kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa sebelum melaksanakan kadar gaji minimum itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lepas mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here