IPOH, 24 April — Lebih 5,000 orang belia menyertai Program Rakan Muda Ramadan melibatkan aktiviti tadarus dan khatam al-Quran yang dilaksanakan di 116 daerah seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata program ikonik kementerian yang diperkenalkan lebih 10 tahun lepas itu melibatkan golongan belia berusia 15 sehingga 25 tahun.

“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat al-Quran akan memberi inspirasi dan galakan terutamanya kepada golongan belia untuk lebih mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Rakan Muda Ramadan di Masjid Al-Ansar Meru Impian, Meru Raya di sini hari ini.

Katanya program tadarus al-Quran di setiap daerah di Perak yang bermula dari 1 sehingga 20 Ramadan pula secara rasminya telah tamat bertadarus 30 juzuk al-Quran dengan penglibatan seramai hampir 1,000 orang belia.

Ahmad Faizal berkata program Iftar Rakan Muda Ramadan merangkumi sesi gotong-royong memasak bubur lambuk turut diadakan bagi menggalakkan semangat kerjasama dalam kalangan belia di samping menghidupkan amalan sunnah melalui program berbuka puasa beramai-ramai.

Katanya Kementerian Belia dan Sukan juga mengadakan pertandingan Musabaqah al-Quran Belia secara maya yang terbuka kepada belia berusia 15 hingga 30 tahun yang memerlukan peserta perlu mempersembahkan bacaan dalam rakaman video.

“Video rakaman hendaklah dimuat naik ke akaun Facebook masing-masing dan hantarkan pautan video itu ke peti masuk halaman Facebook Musabaqah Al-Quran Belia – Virtual,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here