BEIJING, 19 Mei — Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) yang berperanan penting dalam mempererat jalinan kepentingan antara syarikat tempatan dan luar negara sejak ditubuhkan pada 1952, kata Presiden China, Xi Jinping.

Dalam ucapannya sempena Persidangan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Penubuhan CCPIT, dan Sidang Kemuncak Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Global yang dirasmikan pada Rabu, beliau berkata CCPIT juga telah mendorong pertukaran ekonomi dan perdagangan antarabangsa serta meningkatkan hubungan antara negara.

“Pada masa ini, dunia menghadapi penularan pandemik dan perubahan drastik yang tidak pernah berlaku dalam seabad lalu. Pada masa sama, globalisasi ekonomi berdepan perubahan dan dunia telah memasuki fasa turun naik dan transformasi baharu,” kata Xi.

Justeru katanya, sektor industri dan perdagangan pelbagai negara mempunyai harapan tinggi terhadap pembangunan yang aman, adil, sama rata dan situasi sama menang.

Beliau turut mengemukakan empat cadangan untuk merealisasikan harapan itu, termasuk bergabung tenaga dalam memerangi wabak, membangkitkan semula perdagangan dan pelaburan, mempergiat pembangunan dipacu inovasi, serta menyempurnakan tadbir urus global.

Xi menegaskan bahawa keazaman China untuk memperkasakan taraf keterbukaan tidak akan berubah, bahkan pintu China akan dibuka semakin luas.

“China akan terus membina iklim perniagaan yang berorentasikan pasaran, undang-undang dan antarabangsa, melaksanakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bertaraf tinggi, mendorong pembinaan bersama-sama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berkualiti tinggi, menyediakan lebih banyak peluang pasaran, peluang pelaburan, peluang pertumbuhan kepada sektor industri dan perdagangan antarabangsa.

“Marilah kita berganding tangan untuk mempertahankan kedamaian, pembangunan, kerjasama dan perkongsian saling menguntungkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi oleh ekonomi dunia serta perdagangan dan pelaburan antarabangsa pada masa ini dan bersama-sama menuju ke masa depan lebih cerah,” kata Xi.

Persidangan kali ini turut disertai wakil pertubuhan penggalakan perdagangan dari 59 negara dan kawasan.

Peserta persidangan akan mengadakan perbincangan bagi mencapai kesepakatan serta mencapai Inisiatif Beijing Sidang Kemuncak Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here