KUALA LUMPUR, 26 Mei — Bersatu akan mengemukakan satu nama baharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk dilantik sebagai anggota Kabinet bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan keluar parti itu hari ini.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata tindakan itu diambil memandangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah atas kuota parti itu.

Menurut Muhyiddin, kedudukan Zuraida sebagai ahli Bersatu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu baru-baru ini setelah terdapat laporan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti tersebut.

Susulan itu, Muhyiddin berkata satu surat tunjuk sebab bertarikh 9 Mei 2022 telah dihantar kepada Zuraida dan Ahli Parlimen Ampang itu juga telah menjawab surat tunjuk sebab itu menerusi sepucuk surat bertarikh 23 Mei 2022.

“Langkah seterusnya ialah untuk merujuk kes beliau ke Lembaga Disiplin parti.

“Namun demikian, memandangkan beliau telah membuat pengumuman untuk menyertai PBM melalui satu kenyataan akhbar hari ini, keahlian beliau dalam Bersatu telah gugur serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu,” katanya.

Zuraida hari ini mengumumkan menyertai PBM kerana mempercayai perjuangan parti itu dan tertarik dengan enam prinsip terasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here