MELAKA, 9 Jun — Kerajaan negeri Melaka memohon agar kerajaan Indonesia membuka segera Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II kepada penerbangan antarabangsa khususnya membabitkan laluan Melaka ke Pekanbaru yang mempunyai permintaan tinggi dalam pelancongan kesihatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pengunjung dari Indonesia merupakan pasaran terbesar pelancong asing yang melawat Melaka sepanjang tahun 2019 yang merekodkan seramai 552,813 orang. 

Beliau berkata daripada 136,361 pelancong kesihatan yang tiba untuk mendapatkan rawatan di Melaka dalam tempoh berkenaan, 100,234 daripadanya adalah pelancong dari Indonesia.

“Ini merupakan satu potensi besar kerana Indonesia merupakan pasaran pelancong kesihatan paling menonjol, yang menyaksikan ketibaan mereka bagi mendapatkan rawatan di empat hospital pakar di Melaka, yang mempunyai kepakaran dari segi perubatan, selain kos rawatan separuh lebih rendah berbanding di Singapura dan Jakarta,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau berucap merasmikan Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka 2022 dan Kempen Promosi Melaka For ASEAN di Pekanbaru, Indonesia yang turut dihadiri Gabernor Wilayah Riau Dr Syamsuar.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kempen Promosi Melaka For ASEAN khususnya masyarakat Indonesia di Riau untuk melancong dan menerokai Melaka dengan harga yang lebih murah dan berbaloi. 

Katanya menerusi kempen itu terdapat 42 pakej pelancongan keluarga yang boleh didapati dengan harga serendah 200,000 rupiah (kira-kira RM60) seorang sehari untuk melancong atau berlibur di Melaka.  

“Bukan itu sahaja, tempat-tempat tarikan di Melaka juga menawarkan diskaun sehingga 50 peratus selain tawaran pembelian tiket Beli 1 Percuma 1 yang perlu direbut sempena kempen ini yang sah sehingga 31 Dis,” katanya.

Sulaiman seterusnya mengucapkan Selamat Hari Jadi ke-238 Kota Pekanbaru yang bertemakan Bangkit Bersinergi selain tahniah dan syabas kepada pemimpin di wilayah itu yang telah berjaya menjadikan Pekanbaru sebagai kota pelaburan terbaik di Indonesia selama lima tahun berturut-turut.

“Saya yakin dengan usaha yang berterusan dan kerjasama yang lebih erat bersama Riau, jumlah kehadiran pelancong dua hala khususnya ke Pekanbaru akan dapat dipertingkat sekali gua merancakkan semula industri pelancongan kedua-dua negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here