KUALA LUMPUR, 10 Jun — Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat 4.6 peratus pada April 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh sektor pembuatan dan elektrik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor pembuatan dan elektrik masing-masing merekodkan peningkatan 6.2 peratus dan 1.5 peratus, manakala sektor perlombongan menyusut 0.1 peratus. 

“Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 4.8 peratus kesan daripada kejatuhan dalam kesemua komponen indeks,” menurut Mohd Uzir dalam kenyataan Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia bagi April 2022 hari ini.

Beliau menambah, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 6.2 peratus pada April 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus pada Mac 2022, disumbangkan oleh subsektor utama iaitu produk peralatan elektrik dan elektronik (14.2 peratus), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (10.1 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.1 peratus).

Pada masa yang sama, beliau berkata pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan domestik berjumlah 6.9 peratus dan industri berorientasikan eksport iaitu 5.8 peratus.

“Pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disumbangkan terutamanya oleh pembuatan produk prosesan makanan dan pembuatan produk galian bukan logam lain.

“Sementara itu, peningkatan bagi industri berasaskan eksport didorong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal dan pembuatan kimia dan produk kimia,” kata Mohd Uzir.

Menurutnya prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan menyusut 4.9 peratus berbanding Mac 2022, dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka.

Bagi output sektor perlombongan, Mohd Uzir berkata output merosot 0.1 peratus pada April 2022 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh kejatuhan 0.8 peratus dalam indeks minyak mentah dan kondensat, manakala indeks gas asli tumbuh 0.3 peratus. 

Sehubungan itu, beliau berkata indeks perlombongan merekodkan penurunan 5.3 peratus berbanding bulan sebelumnya.

 Output sektor elektrik berkembang 1.5 peratus pada April 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik jatuh 2.2 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here