GEORGE TOWN, 11 Jun — Bukit Bendera hari ini menerima sijil pengiktirafan sebagai tapak rizab biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan UNESCO pada 15 Sept tahun lepas, telah meluluskan pencalonan Bukit Bendera dengan keluasan 12,481 hektar sebagai tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga, bagi negara.

“Bukit Bendera merupakan salah satu tapak di antara 727 tapak rizab biosfera di dalam ‘The World Network of Biosphere Reserves’ dan pengiktirafan itu mencerminkan komitmen negara amnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya.

“Komitmen bersama dalam mewujudkan keseimbangan antara penjagaan khazanah alam semula jadi dengan aktiviti pembangunan, melalui pendekatan pembangunan mampan di samping dapat meningkatkan profil tapak tersebut sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa dan pusat kecemerlangan pembelajaran,” menurut KeTSA dalam kenyataan hari ini.

KeTSA dalam kenyataan itu memaklumkan penyertaan Malaysia dalam program MAB bermula pada tahun 2009 melalui pengiktirafan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia dengan keluasan 6,922.97 hektar pada 26 Mei 2009.

Menurut kenyataan KeTSA itu, Banjaran Crocker di Sabah pula telah diiktirafkan sebagai tapak rizab biosfera yang kedua di Malaysia pada 12 Jun 2014 merangkumi keluasan 350,584 hektar.

KeTSA berharap dengan pengisytiharan Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera di bawah program MAB UNESCO ini sebagai galakan kepada kerajaan-kerajaan negeri lain untuk mencalonkan kawasan berpotensi sebagai tapak berkepentingan biodiversiti antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here