IPOH, 24 Jun — Petugas kesihatan yang terlibat berhubung dakwaan kecuaian perkhidmatan ambulans Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, kerana gagal melakukan prosedur menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang terkena serangan jantung, telah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Pengarah HRPB Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid berkata petugas kesihatan berkenaan mematuhi garis panduan, sebagaimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pengendalian Pesakit Pra-Hospital dan Protokol Pengendalian Pesakit Pra-Hospital Negeri Perak (Polisi Operasi Perkhidmatan Pra-Hospital Negeri Perak, Edisi 2014).

“Sebagai makluman, pasukan Pusat Penyelarasan Perubatan Kecemasan (MECC) HRPB, telah mengaktifkan Pasukan Respon Ambulans (PRA) setelah menerima panggilan daripada orang awam berhubung satu kemalangan, yang berlaku di Jalan Sultan Nazrin Shah di sini.

“Petugas kesihatan yang terlibat melakukan pemeriksaan klinikal dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Sehubungan itu, MECC memaklumkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lalu, sebuah portal berita yang melaporkan kecuaian perubatan oleh perkhidmatan ambulans HRPB, kerana gagal melakukan prosedur menyelamatkan nyawa pesakit berusia 43 tahun itu, yang terkena serangan jantung pada April lalu.

Dalam pada itu, Dr Megat Iskandar berkata waris keluarga mangsa boleh menghubungi pihak HRPB atau Jabatan Kesihatan Negeri Perak, sekiranya memerlukan maklumat lanjut berhubung kes tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here