JITRA, 28 Jun — Kementerian Sumber Manusia menerima sejumlah 17,091 aduan pelbagai permasalahan dialami pekerja menerusi aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW) setakat Ahad lepas (26 Jun).

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 34 peratus atau 5,928 aduan adalah mengenai gaji yang tidak dibayar dan lewat pembayaran gaji.

“Bagi kes lain, iaitu sebanyak 18 peratus atau 2,974 kes merupakan aduan mengenai majikan tidak membenarkan bekerja dari rumah terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga ada menerima aduan mengenai potongan upah tidak mengikut undang-undang sebanyak 1,651 kes,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil sempena Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Kali ke-25 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini.

Awang berkata sebanyak 1,390 kes pula berkaitan aduan pekerja dibuang kerja tanpa notis selain 1,369 aduan adalah berkaitan tiada pembayaran kerja lebih masa dan faedah pemberhentian.

Sehubungan itu, beliau berkata sebanyak 16,562 aduan telah pun diambil tindakan manakala selebihnya masih dalam siasatan, pengesahan dan verifikasi.

Untuk rekod, aplikasi WFW mula dilancarkan pada 3 Mei tahun lepas sebagai platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing untuk mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.

Untuk itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dipetik sebagai berkata pihaknya memberi jaminan bahawa identiti pengadu akan dirahsiakan dan aduan diterima itu akan diambil tindakan dalam tempoh antara tiga dan tujuh hari manakala status pelaporan akan dipantau pengurusan tertinggi kementerian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here