BALING, 11 Julai — Suram dan sayu. Begitu suasana sambutan Hari Raya Aidiladha yang dapat digambarkan di kawasan tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Kupang di sini, semalam.

Tatkala hari raya korban disambut sederhana di kebanyakan tempat, situasi lebih pilu di lokasi terbabit yang paling teruk terjejas berbanding 37 kampung dan taman perumahan lain.

Mujurlah jambatan sementara bagi menggantikan jambatan konkrit yang roboh siap dipasang petang kelmarin, sekali gus membolehkan penduduk melintasi Sungai Kupang untuk ke Masjid Raudhatul Falah bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Solat berkenaan diimamkan Timbalan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kariah Kampung Iboi, Mohammad Zawawi Ibrahim yang turut disertai kira-kira 300 jemaah termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebahagian jemaah adalah mereka yang kini tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai setelah rumah masing-masing lenyap atau rosak teruk.

Yang turut hadir ke masjid berkenaan ialah Abdul Rahman Said, 71, yang kehilangan isteri, Salmah Mat Akib, 53; anak tirinya, Mohd. Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23.

“Saya masih teringatkan isteri, anak dan menantu. Tambahan hari ini (semalam) hari raya. Jadi saya masih sedih dengan kejadian yang menimpa mereka.

“Arwah isteri saya strok, biasanya setiap pagi saya bangunkan dia, mandikan dia dan sediakan makan. Sama juga pada hari raya sebelum-sebelum ini,” katanya.

Abdul Rahman mengakui dia masih trauma dengan tragedi itu yang bukan sahaja kehilangan tiga ahli keluarga tetapi rumah mereka yang lenyap akibat dibadai kepala air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here