KOTA BHARU, 22 Ogos — PAS masih berharap dapat mewujudkan persefahaman dengan UMNO bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terutama di Kelantan. 

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu bersedia dengan segala kemungkinan termasuk menerima keputusan UMNO Kelantan yang mahu bergerak secara solo pada PRU15, dan akur jika terpaksa berlawan dengan UMNO.

“Jika UMNO Kelantan memang berkeras bergerak solo kita hadaplah… nak buat macam mana. Saya pernah sebut dahulu kita bersedia dengan segala kemungkinan. Kalau kita terpaksa berlawan dengan UMNO pun kita akan lawan. 

“Cuma kita harap ini tidak berlaku. Kita nak supaya sekurang-kurangnya ada persefahaman supaya tidak bertembung tiga penjuru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan Perikatan Nasional Kelantan di sini malam tadi.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata persefahaman antara PAS dan UMNO juga perlu bagi mengelak Pakatan Harapan (PH) menang.

“Persefahaman itu perlu kerana PAS tidak mahu PH menang bukan sahaja di Kelantan tetapi di seluruh negara, malah hasrat tersebut diharap dapat difahami oleh pemimpin UMNO,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod pertembungan tiga penjuru di Kelantan, PAS yakin masih mampu bertahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here