IPOH, 28 Ogos — Kerajaan Perak meminta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) supaya mewujudkan satu polisi baharu bagi menyelesaikan isu membabitkan pembinaan perumahan generasi kedua Felda di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata satu pertemuan akan diadakan dengan JKPTG untuk membincangkan mengenai Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967 yang perlu disemak semula. 

“Ini kerana sejak dahulu lagi timbul masalah membina rumah generasi kedua ini kerana peruntukan dalam GSA menetapkan hanya sebuah rumah boleh dibina dalam satu plot tapak.

“Di kampung tradisional, keliling rumah ibu bapa ada rumah anak-anak boleh dibina, tetapi keadaan ini berbeza di penempatan Felda, tidak boleh dibuat begitu kerana terikat dengan GSA,” katanya kepada pemberita pada Program Mesra Bersama Peneroka Felda Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata hal itu menjadi isu kerana semua kawasan Felda adalah di bawah GSA yang mempunyai geran berangkai antara tapak rumah dengan kebun.

“Jadi, kita kena selesaikan (isu) GSA ini terlebih dahulu baharu kita boleh laksanakan pembinaan rumah generasi kedua Felda,” katanya sambil menambah terdapat 17 tanah rancangan Felda di negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here