KENINGAU, 28 Ogos — Kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata Kabinet negeri sudah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru- baru ini.

“Langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik tidak menentu. Kami menyokong anti lompat parti dan kami (akan) bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa berlaku dulu itu, dulu lah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

“Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan anti lompat parti supaya kita boleh tidur lena,” katanya ketika melancarkan Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau di Dewan Masyarakat Keningau di sini hari ini.

Jelajah pertama GRS selepas dilancarkan pada Mei lepas itu turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata Sabah tidak mahu ketinggalan untuk mewujudkan undang-undang anti lompat partinya sendiri selepas RUU mengenai perkara itu diluluskan Parlimen.

“Tidak payahlah kita lompat-lompat (parti) lagi,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengorak langkah penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri selewat-lewatnya tahun hadapan.

Menurutnya, agensi berkaitan dalam kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aspek teknikal dan perundangan kerana hala tuju ini akan melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN Sabah.

Hajiji berkata sebagai persiapan kerajaan negeri akan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga  Negeri Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here