KUALA LUMPUR, 3 Sept — Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar, akan mengadakan pertemuan dua hala di Algeria dari 3 hingga 5 Sept dan Bahrain bermula 6 hingga 8 Sept.

Kementerian Luar  (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan di Algeria, Kamarudin dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Ramtane Lamamra dan Presiden Dewan Rakyat Ibrahim Boughali.

Beliau juga akan mengadakan sesi libat urus dengan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (L’Institut Diplomatique et des Relations Internationales).

Sementara itu, di Bahrain, beliau dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Speaker Dewan Rakyat, Fawzia Abdulla Zainal, Penasihat Raja Bahrain untuk Hubungan Diplomatik, Shaikh Khalid bin Ahmed bin Mohamed Al Khalifa dan Menteri Luar Bahrain Dr Abdullatif Rashid Al Zayani

“Pertemuan semasa lawatan ini akan menyemarakkan lagi hubungan dua hala Malaysia dengan Algeria dan Bahrain, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, dan hal ehwal agama.

“Selain itu pertemuan berkenaan juga memberi peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Beliau akan diiringi pegawai-pegawai Kementerian Luar. 

Pada 2021, Algeria ialah rakan dagang Malaysia yang ke-10 terbesar di benua Afrika dengan nilai dagangan berjumlah RM1.36 bilion, manakala Bahrain rakan dagang Malaysia kesembilan terbesar di rantau Asia Barat melibatkan nilai dagangan sebanyak RM1.46 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here