KUCHING, 10 Sept — Syarikat atau perniagaan boleh menerima pelbagai manfaat sekiranya berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata manfaat itu termasuk pengumuman tertentu serta bantuan yang diberikan kerajaan kepada pihak berkenaan.

Beliau berkata perkara itu boleh dilihat menerusi data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang digunakan dalam pemberian bantuan semasa pandemik COVID-19 melanda negara.

“Jadi syarikat yang tidak berdaftar serta tidak termasuk dalam data SSM itu… mungkin ini satu kerugian kepada mereka. Selain itu, ada juga perlindungan buat syarikat yang berdaftar dengan SSM,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) peringkat Sarawak anjuran SSM di sini hari ini.

Program dihadiri lebih 600 peserta itu bertujuan memberikan pendedahan mengenai pengurusan perniagaan, menyemai minat serta menerapkan nilai keusahawanan kepada peserta.

Sementara itu, Nanta berkata Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 itu diharap dapat diadaptasi serta dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak pada masa akan datang. 

Beliau berkata pada masa ini pendaftaran perniagaan di dua negeri tersebut terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya usaha untuk menguatkuasakan akta itu di Sabah dan Sarawak bertujuan agar setiap usahawan dapat menikmati apa jua bantuan dan faedah disediakan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here