KEPALA BATAS, 25 Sept — Karnival Jom Beli Rumah (KJBR) Wilayah Utara telah mencatatkan pendaftaran mereka yang berminat untuk membeli atau ‘registered interest’ sebanyak 391 unit kediaman bernilai RM82.5 juta, setakat dua hari karnival itu berlangsung.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 308 unit merupakan kediaman Rumah Mampu Milik di bawah RM300,000 iaitu membabitkan nilai RM47.7 juta.

Beliau berkata 83 unit lagi, merupakan hartanah bernilai lebih RM300,000 yang nilai hartanahnya sebanyak RM34.8 juta.

“KJBR Wilayah Utara yang  berlangsung di Dataran Dewan Millenium, di sini selama tiga hari sejak Jumaat lepas benar-benar menepati sasaran dan dalam tempoh dua hari sahaja jumlah pendaftar berminat sebanyak RM82.5 juta, saya percaya ia akan meningkat hari ini (hari terakhir).

“Kalau pun bukan hari ini meningkat, namun ia akan berlaku dalam tempoh akan datang kerana mereka (pembeli) sudah dapat maklumat, mereka buat keputusan selepas bincang dengan keluarga dan ini pasti dapat tingkatkan nilai hartanah yang dapat dijual,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Reezal Merican ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara Peringkat Pulau Pinang 2022 sempena KJBR Wilayah Utara di Dataran Dewan Millenium, di sini.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata berdasarkan maklumat, syarikat dari Perak berjaya merekodkan ‘registered interest’ paling tinggi dan diikuti Pulau Pinang dan seterusnya Kedah.

Beliau berkata kehadian pengunjung juga melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 15,000 orang dan penganjuran KJBR Wilayah Utara itu adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya mereka di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis untuk mendapatkan pelbagai promosi pemilikan perumahan.

“KJBR Wilayah Utara ini juga menempatkan semua agensi termasuk pihak bank bagi memudah cara dan membantu untuk pembiayaan pinjaman malah turut disertai pelbagai agensi pelaksana di peringkat negeri.

“Maknanya ia bukan hanya acara Persekutuan tetapi acara bersepadu dengan semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri,” katannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here