KUALA LUMPUR, 25 Sept — Malaysia akan menyertai Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania bermula esok (26 Sept) hingga 14 Okt ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang mengetuai delegasi Malaysia berkata sepanjang persidangan itu, beliau akan terlibat dalam beberapa mesyuarat dan sesi perbincangan dua hala bersama negara luar berkaitan telekomunikasi, ekonomi digital, radio serta regulatori berkenaan peranan dan sumbangan Malaysia dalam sektor itu.

“Saya akan menyampaikan ucapan semasa Sesi Khas Menteri pada hari ini 25 Sept 2022 dan menyampaikan kenyataan polisi semasa Sesi Plenari pada 27 Sept 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Annuar ITU PP22 kali ini yang disertai 181 negara, amat istimewa dan signifikan bagi Malaysia, kerana Malaysia akan bertanding untuk memenangi kerusi Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah Wilayah E (Asia dan Australasia) bagi penggal 2023-2026.

Justeru, Annuar berkata selain menganjurkan Majlis Resepsi pada 29 Sept, beliau dan delegasi Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dan delegasi dari negara-negara ahli ITU bagi meraih sokongan agar Malaysia memenangi kerusi Ahli Majlis ITU.

Katanya penglibatan Malaysia secara langsung dalam Persidangan ITU PP22 dan sebagai Ahli Majlis ITU akan memberi impak besar terhadap kepakaran tempatan yang dapat dimanfaatkan melalui program-program pembangunan telekomunikasi dan Teknologi Maklumat dan Komunakasi (ICT) oleh ITU.

Annuar berkata pemain industri khususnya dalam sektor telekomunikasi dan ICT tempatan di Malaysia akan menerima impak positif melalui polisi kerajaan yang tersusun, termasuklah peluang meneroka teknologi terkini, dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang unggul kepada Keluarga Malaysia.

Delegasi Malaysia ke ITU PP22 termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) M.Sivanesan dan Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Turut serta, Duta Malaysia ke Romania Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin selain wakil penyedia rangkaian telekomunikasi di Malaysia seperti Telekom Malaysia, Maxis, Digi dan MEASAT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here