KUALA LUMPUR, 26 Sept — Dua Ahli Dewan Negara hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di bangunan Parlimen, di sini.

Mereka ialah Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah dan Exco Wanita UMNO Datin Ros Suryati Alang.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua senator itu merupakan lantikan Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa 20 Sept lepas hingga 19 Sept 2025.

Dr Mohamed Haniffa yang berkelulusan Doktor Perubatan dari University of Madras, India, pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Klang dan Sabak Bernam serta merupakan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) Sdn Bhd.

“Ros Suryati merupakan usahawan berjaya dan pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Keusahawanan 2017,” menurut kenyataan itu.

Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan dua Ahli Dewan Negara itu, menyeru semua senator memberikan perkhidmatan di lapangan melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang diwakili.

Beliau juga berharap semua senator bergiat aktif terutama dalam fasa mentransformasikan Parlimen supaya Dewan Negara tetap berada pada tempat yang sepatutnya dan dipandang mulia serta dihormati.

“Saya berharap agar Ahli-Ahli Yang Berhormat menggunakan kepakaran masing-masing sebagaimana yang digariskan dalam Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan untuk menjuarai apa-apa jua bidang yang terkait dengan senarai tugasan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Rais juga menetapkan setiap senator wajar meneliti senarai tugas kolektif sebagai Indeks Capaian Utama masing-masing mulai 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here