KUALA LUMPUR, 26 Sept — Pengeluar kereta, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini memperkenalkan model hibrid pertamanya, Ativa Hybrid, yang ditawarkan secara terhad kepada 300 pelanggan individu dan korporat. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pengenalan model hibrid itu adalah sebahagian daripada kajian kenderaan elektrik pertamanya serta mobiliti jangka panjang melalui kajian pasaran perkhidmatan. 

Beliau berkata, kajian itu bertujuan untuk memahami tingkah laku pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid di lokasi berpenduduk padat di negara ini iaitu di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Menurutnya, program perintis itu juga bertujuan untuk memahami penerimaan para pengguna terhadap perkhidmatan ‘langganan’ lima tahun, yang ditawarkan oleh Perodua kepada pelanggan korporat di bawah “EZ MOBI”.

“Perodua Ativa Hybrid adalah kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan pandangan unik mengenai tingkah laku rakyat Malaysia sebagai kumpulan terkawal kerana data ini akan digunakan untuk mengenal pasti keperluan pelanggan apabila menggunakan kenderaan elektrik,” katanya kepada media selepas Majlis Langganan Perodua Ativa Hybrid, di sini, hari ini. 

Zainal Abidin berkata pelanggan terpilih perlu membayar RM500 sebulan selama tempoh lima tahun atau perbatuan 100,000 kilometer, atau yang mana terdahulu sebelum perlu memulangkan kereta berkenaan kepada Perodua. 

“Walaupun kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih lagi menjadi perniagaan utama kami, namun ada kemungkinan perniagaan langganan kenderaan ini diterima oleh lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.

“Inilah yang kami maksudkan dengan langganan satu perkhidmatan yang mana semua kewajipan lain untuk memiliki kenderaan seperti mengikuti jadual penyelenggaraan, membayar insurans kenderaan dan cukai jalan semua akan diuruskan sepenuhnya oleh kami. Apa yang pelanggan perlu lakukan ialah membayar yuran langganan untuk menikmati pakej berkenaan,” katanya. 

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Lokman Hakim Ali, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Pengerusi Daihatsu, Sunao Matsubayashi. 

Perodua Ativa Hybrid menggunakan sistem “hibrid bersiri” di mana set motor elektrik menggerakkan roda kenderaan manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk mengecas enjin. 

Model berkenaan menggunakan enjin 1.2L (WA-VEX) untuk menjana kuasa tersebut.

Menerusi teknologi ini, Sistem Bersiri Perodua Ativa Hybrid mampu mencapai jarak sejauh 31.3 kilometer seliter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia). 

Perodua sebelum ini sudah pun mempunyai perkhidmatan langganan sedia ada yang diuruskan di bawah EZ MOBI tetapi buat masa ini perkhidmatan langganan hanya untuk syarikat dan bukan individu. 

Perkhidmatan EZ MOBi Perodua mula diperkenalkan pada Januari 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here