KUALA LUMPUR, 5 Okt — PAS ada pelan kedua sekiranya penyatuan ummah bersama UMNO tidak berjaya, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pelan kedua berkenaan.

Menurutnya buat masa ini PAS masih cuba menyelesaikan beberapa isu ‘kecil’ dengan UMNO yang sebelum ini bersama-sama menjalin kerjasama politik di bawah payung Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata baginya MN yang wujud hasil kerjasama dua parti itu sebelum ini merupakan satu platform yang penting bukan hanya untuk politik, tetapi juga demi masyarakat Islam di Malaysia.

“Kalau nak kira sensitif rasa hati, PAS lebih sensitif terasa hati dengan UMNO…kita cuba usahakan dulu, kalau berjaya kita teruskan kalau tak berjaya pun kita ada pelan kedua,” katanya kepada sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mengenai tiga syarat diletakkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  untuk PAS penuhi jika mahu kembali menjalin kerjasama politik bagi berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Tuan Ibrahim berkata syarat berkenaan tiada dalam kenyataan rasmi UMNO.

“Jadi saya fikir, kalau betul, tiga syarat itu mesti masuk dalam kenyataan rasmi. Kenyataan rasmi tidak menyebut syarat-syarat berkenaan,” katanya.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid meletakkan tiga syarat untuk dipenuhi PAS sebelum UMNO kembali berunding dengan parti berkenaan; iaitu PAS perlu keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu; serta mengisytihar secara rasmi parti itu “mufarakah” atau berpisah sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Bagaimanapun beliau berkata PAS mengalu-alukan kesediaan UMNO ke arah penyatuan ummah, namun beberapa syarat yang dituntut mereka itu perlu diteliti terlebih dahulu dan beliau yakin pihak parti akan merumuskannya dalam masa terdekat.

Terdahulu, Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad dilapor berkata bahawa parti itu akan mengadakan mesyuarat Sabtu ini,  antara lain bagi membincangkan perkara berkaitan ketetapan parti itu berhubung kerjasama rakan politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here