KYIV, 10 Okt — Satu letupan kuat menyebabkan jambatan yang menghubungkan Crimea rosak teruk kelmarin, sekali gus ‘menjejaskan simbol prestij’ Russia selepas merampas wilayah itu dari Ukraine pada 2014.

Letupan di jambatan yang merentasi Selat Kerch itu mengejutkan pelbagai pihak, dengan Moscow masih belum mengenal pasti siapakah dalang di sebalik insiden tersebut.

Pihak berkuasa Russia memaklumkan, sekurang-kurangnya tiga orang yang disyaki penumpang sebuah kenderaan maut dalam insiden itu, selepas sebuah trak yang dipercayai diletakkan bom meletup atas jambatan berkenaan.

Letupan daripada trak berkenaan menyebabkan tujuh tangki minyak kereta api yang dalam perjalanan ke Semenanjung Crimea turut terbakar.

Walaupun terdapat kemusnahan besar, trafik di jambatan itu tetap berjalan lancar selama 10 jam dan Menteri Pengangkutan Russia memaklumkan, perkhidmatan kereta api juga dijangka beroperasi semula tidak lama lagi.

Russia merampas Crimea dari Ukraine pada 2014 dan jambatan Crimea sepanjang 19 kilometer itu menjadi laluan utama untuk rangkaian pengangkutan Russia.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyatakan insiden itu sebagai ‘satu permulaan’, namun tidak memaklumkan sama ada pasukan tentera negara ini bertanggungjawan terhadap kejadian berkenaan.

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin menandatangani dekri bagi mengukuhkan langkah keselamatan di lintasan pengangkutan Selat Kerch, iaitu grid kuasa yang menghubungkan Crimea dan saluran paip gas utama ke kawasan semenanjung.

Dekri itu memberi kuasa kepada Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia untuk mengatur dan menyelaras langkah bagi melindungi kemudahan tersebut.

Selepas beberapa minggu tentera Russia berdepan kekalahan demi kekalahan ketika bertempur dengan Ukraine, Moscow semalam mengumumkan pelantikan ketua perang baharu iaitu, Sergei Surovikin.

Surovikin sebelum ini pernah mengetuai tentera Russia di selatan Ukraine.

Beliau juga mempunyai pengalaman bertempur di Tajikistan dan Chechnya serta Syria.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here