BEIJING, 16 Okt — China kekal teguh dalam meneruskan dasar luarnya untuk keamanan dan kebebasan serta akan sentiasa menegaskan kedudukan dan dasarnya dalam sebarang isu berasaskan merit, kata Presidennya Xi Jinping.

Xi berkata China menghormati kedaulatan dan integriti wilayah negara lain dan kekal berpegang kepada prinsip kesamarataan semua negara sama ada besar atau kecil, kuat atau lemah dan kaya atau miskin.

“China menghormati arus pembangunan dan sistem sosial yang dipilih secara bebas oleh semua rakyat dunia,” katanya pada sesi pembukaan Kongres Kebangsaan Parti Komunis China (PKC) ke-20, hari ini.

Xi yang berucap hampir dua jam, berkata China berdiri teguh menentang semua bentuk hegemonisme dan politik kuasa, mentaliti Perang Dingin, campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain dan berat sebelah.

“China mengamalkan dasar pertahanan defensif dan tindakan itu mengukuhkan kuasa dunia untuk keamanan. Tidak kira apa peringkat pengembangannya,” katanya.

Selain itu China menyeru semua negara untuk berpegang teguh kepada nilai bersama kemanusiaan iaitu keamanan, pembangunan, keadilan, demokrasi, dan kebebasan serta menggalakkan persefahaman bersama dengan masyarakat dunia.

“Mari kita laksanakan pertukaran budaya mengatasi keterasingan, pembelajaran bersama untuk mengatasi pertembungan selain kewujudan bersama untuk mengatasi sifat keunggulan.

“Walaupun ini era penuh dengan cabaran, ia juga merupakan era penuh dengan harapan. Rakyat China bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat dunia untuk melakar masa depan lebih cerah untuk umat manusia.

Sementara itu, beliau berkata China juga akan mempromosi pembangunan berkualiti tinggi, inisiatif “Jalur dan Jalan” (BRI) yang disambut baik masyarakat antarabangsa sebagai platform kerjasama untuk manfaat awam.

China yang mengungguli dunia dari segi jumlah dagangan barangan merupakan rakan dagang utama dengan lebih 140 negara dan wilayah.

“China destinasi utama untuk pelaburan global dan negara terkemuka dalam pelaburan luar. Melalui usaha ini, kami telah memajukan agenda yang lebih luas untuk membuka lebih banyak bidang  secara  mendalam,” katanya.

Pada dekad lepas, keluaran dalam negara kasar (KDNK) China berkembang daripada 54 trilion yuan kepada 114 trilion yuan atau 18.5 peratus daripada ekonomi dunia, meningkat 7.2 mata peratusan.

Xi berkata China kekal sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia dan KDNK per kapitanya meningkat daripada 39,800 yuan kepada 81,000 yuan.

“Ia menduduki tempat pertama di dunia dari segi pengeluaran bijirin yang memastikan jaminan makanan dan tenaga untuk lebih 1.4 bilion penduduknya,” katanya.

Kongres CPC Kebangsaan ke-20 akan berakhir pada 22 Okt. Kira-kira 2,300 perwakilan dari setiap wilayah di China berkumpul di Dewan Besar Rakyat di Beijing mulai Ahad untuk sesi mesyuarat yang kebanyakannya tertutup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here