BEIJING, 16 Okt — China bersedia untuk melabur lebih banyak sumber dalam kerjasama pembangunan global, kata Presiden Xi Jinping.

Beliau berkata negara itu juga komited untuk merapatkan jurang Utara-Selatan dan menyokong serta membantu negara membangun lain mempercepat pembangunan masing-masing.

“China memainkan peranan aktif dalam pembaharuan dan pembangunan sistem tadbir urus global. Ia meneruskan visi tadbir urus global yang mempromosi pertumbuhan bersama melalui perbincangan dan kerjasama.

“China mendukung multilateralisme sebenar, menggalakkan demokrasi lebih luas dalam hubungan antarabangsa serta berusaha untuk menjadikan tadbir urus global lebih adil dan saksama,” katanya pada sesi pembukaan Kongres Kebangsaan Parti Komunis China (PKC) ke-20 hari ini.

Xi berkata pada masa ini, negara itu tegas dalam melindungi sistem antarabangsa dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai terasnya, orde antarabangsa yang disokong undang-undang antarabangsa dan norma asas yang mengawal hubungan antarabangsa berdasarkan matlamat dan prinsip Piagam PBB.

Ia menentang semua bentuk unilateralisme dan pembentukan blok dan kumpulan eksklusif yang disasarkan terhadap negara tertentu, katanya.

“China mematuhi arus globalisasi ekonomi yang betul. Ia komited bekerjasama dengan negara lain bagi memupuk persekitaran antarabangsa yang kondusif untuk pembangunan dan mewujudkan pemacu baharu untuk pertumbuhan global,” katanya.

Kongres CPC Kebangsaan ke-20 bersidang sehingga 22 Okt. Kira-kira 2,300 perwakilan dari setiap wilayah di China berkumpul di Dewan Besar Rakyat di Beijing mulai Ahad, sesi mesyuarat kebanyakannya berlangsung secara tertutup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here