KUALA TERENGGANU, 20 Okt — Jika berdasarkan Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) lepas, parti Bersatu dijangka kekal bertanding di kawasan Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 ini, namun keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu Ariffin Deraman.

Beliau berkata setakat ini tidak timbul masalah mengenai pembahagian kerusi di Terengganu kerana parti-parti komponen PN mempunyai kerjasama yang baik.

“Kalau ikut status quo begitulah, Bersatu di Hulu Terengganu kerana itu kawasan Parlimen mereka,” katanya dalam sidang media di sini.

Selain PAS dan Bersatu, lain-lain parti komponen dalam PN adalah adalah Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Daripada lapan kerusi Parlimen Terengganu, buat masa ini lima dikuasai oleh PAS dan masing-masing satu oleh Barisan Nasional (UMNO), Bersatu dan Bebas.

Mengenai penggunaan logo PAS oleh Bersatu, Ariffin berkata setakat ini keputusan itu dipersetujui, dan semua jentera PAS akan membantu kempen calon PN daripada Bersatu yang akan bertanding.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here