AYER HITAM, 29 Okt — Strategi DAP mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali untuk bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam, bukanlah ancaman kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum kali ini.

Sebaliknya, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata BN dan parti itu  mengalu-alukan kehadiran beliau dan mana-mana parti yang mahu meletakkan calon berbangsa Melayu di kerusi berkenaan.

Wee yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam berkata BN tidak gentar kerana yakin dangan calon yang diketengahkan berwibawa, mempunyai pengalaman dan bukannya sebagai “calon bidan terjun”.

“Itu cara mereka dan kita (BN) ada cara kita. Kita tidak selalu tukar calon, saya yakin pengundi di Ayer Hitam ini tahu parti mana yang membantu mereka ketika kesusahan, bukannya calon itu Melayu atau bukan.

Apa pun sesiapa sahaja yang datang, saya tidak boleh sekat. Ini kerana soal bertanding di Ayer Hitam saya serahkan kepada rakyat menilai siapa yang bersama mereka selama ini. Kehadiran kita bukan sebagai ‘bidan terjun’,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Sukan Negara Daerah Batu Pahat dan pemberian Bantuan Lesen Keluarga Malaysia (BLKM), dekat sini hari ini.

Tanpa mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi tersebut, Wee juga berkongsi pernah berhadapan dengan calon Melayu sebelum ini dan menjangkakan akan ada parti lain yang turut mahu meletakkan calon Melayu.

Presiden MCA itu merupakan penyandang kerusi berkenaan selama empat penggal.

Pada PRU14, beliau menewaskan Liew Chin Tong dengan 303 undi majoriti.

Dua hari lepas, Pakatan Harapan menamakan Sheikh Umar, 37, yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor sebagai calon kerusi Parlimen itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here