KUANTAN, 29 Okt — Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah memperuntukkan RM734,000 setakat ini, bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat menerusi program seperti Souq@Keluarga Malaysia, Jualan Rakyat dan Malam Zikir Berkah, sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata usaha yang dilaksanakan YADIM, bagi meringankan beban kewangan mereka yang memerlukan itu satu perbuatan terpuji dan seharusnya diteruskan, supaya bantuan dapat sampai ke golongan sasar secara terus.

Selain Pahang, antara negeri yang telah disantuni YADIM menerusi program Souq@Keluarga Malaysia ialah Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah. 

“Secara mudah, Souq ini ialah perkataan Bahasa Arab yang jika diterjemahkan difahami sebagai pasar untuk membeli belah. Namun dalam program ini, tetamu yang hadir tidak perlu membeli belah, sebaliknya diberikan barangan keperluan harian secara percuma daripada YADIM.

“Bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti B40, mualaf, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) termasuklah rakan-rakan bukan muslim,” katanya semasa berucap merasmikan Program Souq@Keluarga Malaysia di Masjid Jamek Beserah di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga memaklumkan penganjuran Malam Zikir Berkah pula telah memanfaatkan 104 buah institusi pondok, rumah penjagaan warga emas dan rumah anak-anak yatim, dengan sumbangan sebanyak RM104,000.

Selain itu, RM300,000 pula diperuntukkan bagi penganjuran Jualan Rakyat membabitkan 1,000 jenis barangan keperluan seperti telur, minyak masak, gula, beras dan lain-lain dengan potongan harga sehingga 50 peratus.

Pada program itu, seramai 500 penerima menerima bantuan barangan dapur seperti beras dan ayam segar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here