BANGI, 2 Nov — Pengerusi Protem Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan gabungan itu bakal bertanding di 121 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Dr Mahathir berkata setakat ini Pejuang sudah mengumumkan calon untuk bertanding di 59 kerusi Parlimen, Putra (24), Berjasa (8), Iman (5) dan Gagasan Bangsa sebanyak 11 kerusi.

“Walaupun kita telah beri watikah kepada ramai calon yang kita umum tadi, tetapi masih ada beberapa kawasan yang belum kita tentukan calonnya, pada 3 dan 4 Nov nama-nama itu akan diumum oleh Ketua Setiausaha GTA.

“Bagi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pula diumum barisan pimpinan tertinggi negeri pada esok,” katanya pada sidang media selepas majlis Pengumuman Nama Calon GTA bagi PRU15 petang ini.  

Pada majlis pengumuman calon gabungan berkenaan, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu turut mengumumkan Ketua Setiausaha GTA Datuk Marzuki Yahya bakal bertanding di kerusi Parlimen Sungai Petani, Kedah. 

Dr Mahathir yang bakal mempertahankan kerusi Langkawi berkata gelanggang pilihan raya kali ini akan turut menyaksikan tiga selebriti iaitu pengarah filem Ahmad Idham, pelakon Eizlan Yusof dan Azlan Sani Zawawi (Lando) masing-masing bertanding di Parlimen Port Dickson, Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Beliau berkata GTA akan dibarisi calon berintegriti dan bersih daripada sebarang jenayah selain diyakini mampu menjadi pemimpin yang baik buat negara. 

Pada 7 Okt lepas, Dr Mahathir mengesahkan dua penyandang kerusi Parlimen iaitu anaknya Datuk Seri Mukhriz akan mempertahankan kerusi Jerlun manakala kerusi Kubang Pasu akan dipertahankan Datuk Amiruddin Hamzah, kedua-duanya di Kedah. 

Beliau turut mengumumkan Ketua Pejuanita Datin Che Asmah Ibrahim akan bertanding di Sepang; Ketua Pejuang Perak Mior Nor Haidir Suhaimi di Tapah; dan Pengerusi Penaja GTA Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di Titiwangsa.

Sementara itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor iaitu ADUN Batang Kali Harumaini Omar dan ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli, masing-masing bakal bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian PRU15, penamaan calon (5 Nov) dan pengundian awal pada 15 Nov ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here