KLUANG, 6 Nov — Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan dakwaan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai agenda melunturkan keyakinan pengundi terhadap gabungan itu.

Wee berkata MCA kekal mahu menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri, menyokong keputusan Persidangan Agung UMNO 2021 serta keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada April lepas.

“Saya rasa pembangkang akan mengeruhkan air yang jernih, mereka akan mengambil kesempatan dengan membuat pelbagai andaian termasuklah berkenaan calon Perdana Menteri.

Saya sendiri hadir pada majlis berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas mesyuarat MT UMNO April lepas, yang mana UMNO sebulat suara mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU15,” katanya pada pemberita selepas program Sayangi Komuniti Ayer Hitam “Lebih Baik Cegah”  anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor di Dewan Putra, Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Wee juga meminta agar pengundi dan penyokong tidak keliru dan “terjerat” dengan naratif  yang mahu menggambarkan seolah-olah gabungan tersebut menghadapi pergolakan sekali gus memberi persepsi negatif kepada pengundi. 

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam mahu penyokong melipatgandakan usaha bagi mengulangi kejayaan gabungan itu seperti yang dicapai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lepas. 

Semalam, Ismail Sabri turut mengulangi kedudukan beliau sebagai calon Perdana Menteri BN selepas PRU15  selain turut menafikan wujud surat akuan bersumpah bagi memilih calon Perdana Menteri selain beliau selepas PRU15, seperti yang tular di media sosial beberapa hari lepas.

Selain itu, semalam calon BN di Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin turut menjelaskan kekeliruan dan naratif tersebut dan dilaporkan berkata akan mendukung Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri seperti diumumkan Ahmad Zahid. 

Ketika diminta mengulas berkenaan isu perkauman yang sering dibangkitkan sesetengah pihak di parlimen tersebut setiap kali pilihan raya berlangsung, Wee berkata beliau tidak mengambil pusing perkara tersebut dan mahu menumpukan kemenangan parti.

“Dalam keadaan sekarang, BN lebih mementingkan kestabilan semua lapisan masyarakat supaya agenda pembangunan dan kemajuan dapat dirasai,” katanya sambil memohon agar parti politik lain supaya berhenti bermain sentimen tersebut sebagai senjata politik yang mampu mengganggu gugat keharmonian negara. 

Pada PRU15, Wee, 54, dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Sheikh Umar Bagharib Ali yang juga Naib Pengerusi DAP Johor serta calon Perikatan Nasional (PN-Bersatu) Muhammad Syafiq A Aziz.

Wee yang memegang kerusi parlimen itu selama empat penggal, menang tipis pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti 303 undi menewaskan Liew Chin Tong (PH) dan Mardi Marwan (PAS).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here