IPOH, 8 Nov — Manifesto Barisan Nasional (BN) Perak akan memberi penekanan kepada empat fokus utama iaitu sekuriti makanan, pendidikan, perumahan dan kesihatan rakyat yang akan dilaksana sebaik sahaja mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata selain itu, terdapat lima usaha dan 75 inisiatif yang digariskan bagi mendukung matlamat Kestabilan Demi Kesejahteraan yang diletakkan gabungan tersebut.

 “Lima usaha yang digariskan ialah kestabilan politik, kepimpinan dan pentadbiran yang berintegriti serta cekap, kesejahteraan ekonomi, kemakmuran sosial dan pemerkasaan belia,” katanya ketika berucap melancarkan Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak PRU15 di sini malam ini.

Beliau berkata sepanjang hampir dua tahun mentadbir Kerajaan Negeri Perak, BN telah merangka dan melaksanakan pelan Perak Sejahtera 2030 yang bukan sahaja menggariskan pelbagai usaha dan ikhtiar bagi membangunkan semula negeri ini selepas pandemik COVID-19 tetapi juga mempersiap Perak untuk mendepani cabaran ekonomi dan sosial pada masa hadapan.

Justeru, katanya manifesto yang dilancarkan adalah kesinambungan kepada usaha yang telah dirintis dan dibina selain komitmen BN Perak untuk melunas serta menjayakan setiap perancangan demi manfaat semua lapisan rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama.

“Manifesto BN Perak tidak dipetakan semata-mata untuk memasuki medan PRU15 tetapi berdasarkan kajian teliti serta hasil garapan idea, pandangan dan pengharapan segenap lapisan rakyat Perak yang mahukan sebuah negeri yang makmur dan sejahtera,” katanya.

Saarani juga berkata BN Perak berikrar memperkenal beberapa inisiatif untuk memastikan kestabilan politik terus terpelihara termasuk Enakmen Anti Lompat Parti dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan.

“Jika berjaya mendapat mandat dua pertiga, BN Perak akan berusaha meminda Enakmen Perlembagaan negeri bagi melantik ADUN tambahan daripada kumpulan minoriti dan golongan belia,” katanya.

Beliau berkata BN Perak juga akan meneruskan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua kawasan DUN bagi memastikan nasib setiap lapisan rakyat terbela, kepimpinan serta pentadbiran berintegriti dan cekap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here