PHNOM PENH, Nov 14 — Perdana Menteri China, Li Keqiang menyeru supaya pihak-pihak berkaitan berkongsi peluang dan memperkasakan kolaborasi bagi mencapai keamanan, kestabilan serta kemakmuran berkekalan di rantau Asia Timur.

Ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) edisi ke-17 yang berlangsung pada Ahad, beliau berkata bahawa dalam konteks situasi antarabangsa yang kompleks buat masa ini, suara-suara yang mahukan keamanan dan pembangunan semakin lantang kedengaran.

Oleh itu, beliau menyarankan supaya semua pihak berpegang kepada dialog strategik, melaksanakan interaksi konstruktif, mengukuhkan rasa saling percaya dan menangani perselisihan dengan baik.

Sinergi juga perlu dibentuk untuk memperkasa kerjasama saling menguntungkan serta berupaya menangani pelbagai risiko dan cabaran, di samping melaksanakan sepenuhnya perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), katanya.

“Adalah penting untuk memastikan kestabilan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan, termasuk keselamatan tenaga dan makanan, sekali gus bekerjasama mengatasi perubahan iklim dan cabaran persekitaran ekologi,” katanya.

Li turut menekankan perlunya menjunjung pemusatan ASEAN dan membentuk landskap serantau yang inklusif.

Menyentuh mengenai isu Laut China Selatan, beliau mengulangi pendirian konsisten China dalam memelihara keamanan, kestabilan dan kelancaran laluan pelayaran di perairan berkenaan.

“China bersedia mempercepat rundingan bersama negara-negara anggota ASEAN mengenai Kod Tatalaku (CoC) bersandarkan semangat Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan (DoC) di Laut China Selatan dan prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

“Semua pihak terlibat hendaklah bersama ke arah membina Laut China Selatan yang aman, dilimpahi persahabatan dan kerjasama,” kata Li.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here