KUALA SELANGOR, 16 Nov — Tiada lorong khas disediakan bagi individu positif COVID-19 mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, namun mereka diwajibkan memakai topeng muka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kementeriannya telah merumuskan pilihan terbaik untuk kelompok pengundi ini dengan mengambil kira sumber yang ada serta kekangan lain.

“Tidak boleh ada lorong khas.. kami telah memutuskan pilihan terbaik, selepas mengambil kira sumber yang ada serta pelbagai kekangan, seperti ruang dan tenaga kerja. Jadi prosedur operasi standard (SOP) adalah seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Isnin lepas Dr Noor Hisham dilaporkan berkata individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 diwajibkan memakai pelitup muka, manakala penggunaan pelitup muka untuk pengundi lain amat digalakkan, dan mereka juga tidak dibenarkan menggunakan khidmat pengangkutan awam, termasuk e-hailing.

Sementara itu mengulas berhubung rakaman tular yang memaparkan beliau dimarahi oleh pengundi Sungai Buloh, Khairy berkata itu adalah hak wanita berkenaan untuk berbuat demikian.

“Tidak ada masalah.. Kita berdepan dengan pengundi dan saya buat tinjauan mesra yang tiada tapisan. Kita jumpa dengan segenap masyarakat dan bukan semua yang sokong kita. Ada yang tidak puas hati dan mereka bebas untuk cakap apa sahaja.

“Dalam kes semalam, akak itu dia meminta bantuan untuk diberi pada hari itu juga. Saya kata tidak bolehlah kak, itu kesalahan pilihan raya,” katanya.

Mengulas berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung pemilihan UMNO tidak harus dibincangkan dalam tempoh berkempen PRU15, Khairy berkata beliau setuju dengan kenyataan Naib Presiden UMNO itu dan tumpuan sekarang adalah pada pilihan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here