BEIJING, 25 Nov — China bersedia meningkatkan pertukaran pelbagai peringkat kerjasama dengan parlimen negara-negara ASEAN pada pelbagai peringkat menerusi pelbagai saluran.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China, Li Zhanshu pada Khamis semasa menyampaikan ucapan menerusi pautan video pada majlis penutupan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Ke-43 yang diadakan di Phnom Penh, ibu negara Kemboja.

Dalam ucapan yang dibuat atas undangan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Kemboja, Samdech Heng Samrin merangkap pengerusi Perhimpunan Agung AIPA ke-43, Li berkata dengan bimbingan strategik dan penerajuan pemimpin China dan negara-negara ASEAN, perkembangan hubungan China-ASEAN telah memasuki laluan pantas ‘fast lane’.

“Perkongsian strategik komprehensif China-ASEAN bermula dengan baik pada masa ini dengan menyaksikan kedua-dua pihak melakar pencapaian menggalakkan dalam membina bersama kampung halaman yang damai, tenteram, makmur, indah dan bersahabat,” kata beliau.

Li berkata China komited terus berusaha memelihara keamanan dunia, menggalakkan pembangunan bersama, berpegang pada prinsip bersahabat, keikhlasan, keuntungan bersama, inklusif dan saling percaya dalam diplomasi kejiranan.

“China percaya kerjasama China-ASEAN akan menyumbang kepada keamanan dan pembangunan rantau Asia-Pasifik,” kata beliau.

Li berkata China dan ASEAN berkongsi banyak fahaman dan konsep yang sama mengenai pembangunan.

“Misalnya, China mengamalkan konsep pembangunan dilaksanakan dengan berpaksikan kepentingan rakyat.

“ASEAN pula menyifatkan konsep ‘mengutamakan kepentingan rakyat’ sebagai prinsip teras dalam Piagam ASEAN , sementara Wawasan Komuniti ASEAN 2025 pula menegaskan akan lebih memfokuskan terhadap rakyat ASEAN dan kesejahteraan mereka,” kata beliau.

Li juga menyifatkan pertukaran dan kerjasama antara jabatan perundangan sebagai komponen penting dalam hubungan China-ASEAN.

“NPC China akan terus mengadakan pertukaran dengan AIPA dan parlimen negara-negara ASEAN, memperhebat pembinaan keupayaan, mengukuhkan perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua pihak bagi menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih erat,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here