KUALA TERENGGANU, 30 Nov — Pelaksanaan liputan rangkaian 5G di Terengganu dijangka akan bermula pada tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman.

Beliau berkata berdasarkan perbincangan pihak kerajaan negeri dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Terengganu, liputan 5G akan dimulakan di sembilan lokasi terpilih iaitu di Wisma Darul Iman; Bangunan TD1303; bangunan baharu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu; Hospital Sultanah Nur Zahirah; Pusat Transformasi Bandar (UTC); Kuala Terengganu City Center Mall (KTCC); Pasar Payang; Mayang Mall di Kuala Terengganu dan Pusat Pentadbiran Kuala Nerus.

“Insya-Allah kita akan mulakan lebih awal di tempat ini pada tahun hadapan dan liputan 5G akan diteruskan di tempat-tempat lain juga secara berperingkat,” katanya ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Ariffin berkata kerajaan negeri tidak pernah melupakan projek-projek yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional terdahulu, dengan mengambil pelbagai inisiatif memastikan projek-projek tersebut dapat direalisasikan, termasuk pelbagai projek pembangunan yang dirancang di Tasik Kenyir.

Beliau berkata sebagai contoh, kerajaan negeri dalam masa terdekat akan mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), mengenai hala tuju pembangunan di Pulau Bayas yang terletak di Tasik Kenyir.

Ariffin berkata antara yang akan diberi perhatian ialah projek sakit di Pulau Bayas yang terletak di Tasik Kenyir, seperti kerja-kerja membina dan menyiapkan bangunan terminal jeti penumpang dan jeti perkhidmatan, pembangunan ‘Kenyir Trade Centre’ dan pembinaan pencawang elektrik.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan turut membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin melabur dalam projek-projek pembangunan di pulau tersebut.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Dr Alias Razak berkata kerajaan negeri melalui Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Jualan Vape pada 16 Jun lepas, telah bersetuju mengambil beberapa inisiatif untuk mengawal aktiviti penjualan rokok elektronik (vape) dan pembukaan premis penjualan vape di Terengganu.

Beliau berkata antara yang sedang dijalankan ialah memperbanyakkkan aktiviti penguatkuasaan di lapangan terhadap penjualan vape di premis-premis perniagaan dan pihak penguasa tempatan mengenal pasti senarai bilangan premis perniagaan vape yang aktif di setiap daerah.

“Kita juga membuat sesi pertemuan dengan pengusaha-pengusaha premis perniagaan tersebut dalam tempoh enam bulan ini, bagi memaklumkan hala tuju kerajaan negeri dalam penguatkuasaan larangan aktiviti penjualan vape di premis-premis perniagaan yang berlesen,” katanya ketika sesi penggulungan Enakmen Perbekalan 2023.

Persidangan bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here