SHAH ALAM, 2 Dis — Kerajaan Selangor berharap cadangan untuk mengadakan satu lagi laluan rel bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke bahagian selatan negeri itu dapat dipertimbangkan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han memaklumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bahawa cadangan itu telah diserahkan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor berharap ia dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Menurutnya, walaupun berlaku pertukaran kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas, pembinaan projek ECRL akan kekal dilaksanakan meliputi jajaran utara di empat daerah iaitu Gombak, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Jajaran ECRL dalam Selangor telah dimuktamadkan dan akan digunakan jajaran di sebelah utara Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lau Weng San (PH-Banting) mengenai perkembangan perancangan terbaharu dengan kerajaan Pusat untuk mengganti semula jajaran selatan yang sebelum ini menjadi jajaran ECRL di Selangor membabitkan kawasan Kuala Langat dan Pelabuhan Klang.

Dalam pada itu, katanya pembinaan laluan ECRL di Selangor meliputi kawasan seluas 758.47 hektar termasuk 32 lot hutan simpan di daerah Gombak, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor bagi pembinaan jajaran utara sepanjang 90.72 kilometer (km).

“Jajaran itu merangkumi laluan bertingkat, aras tanah dan serta pembinaan terowong sepanjang 28.5 km,” katanya menjawab soalan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Baharu) yang ingin tahu keluasan tanah yang akan diambil oleh kerajaan Persekutuan bagi projek pembinaan ECRL di daerah terlibat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here