KUALA LUMPUR, 23 Dis — Kerja-kerja penggantian eskalator bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) , Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel dijangka siap sepenuhnya Februari ini.

Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan pihaknya telah menerima alat ganti fasa pertama pada awal bulan ini, setelah mengalami kelewatan penghantaran disebabkan gangguan rantaian bekalan global.

“Dengan ketersediaan alat-alat ganti tersebut, kerja-kerja penggantian segera telah dijalankan kontraktor pengilang pengeluar asal atau original equipment manufacturer (OEM) secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2023. 

“Setakat 15 Dis lepas, proses penggantian 20 unit handrail dan tiga unit stepchain di 10 stesen MRT telah disiapkan, dan eskalator di stesen berkenaan telah kembali beroperasi,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Sebagai langkah jangka panjang, Rapid Rail telah melaksanakan program penyelenggaraan berasaskan keadaan atau condition based maintenance (CBM) iaitu proses mengganti komponen yang dinilai akan rosak atau kerap bermasalah akan terus dilaksanakan tanpa menunggu jangka hayat tamat.

Bagi stesen monorel yang reka bentuk asalnya dibina tanpa lif, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyedari keperluan pengguna terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU)  dengan mengambil inisiatif untuk menambah 18 unit lif dan 39 unit wheelchair platform lift untuk keselesaan orang awam. 

“Kerja-kerja menaik taraf fasiliti lif di monorel ini memerlukan penambahbaikan dari segi struktur dan juga melibatkan beberapa isu keselamatan yang perlu dibaiki. Projek naik taraf ini akan bermula pada suku pertama 2023 dan memerlukan masa selama 18 bulan untuk disiapkan,” katanya.   

Kenyataan itu turut memaklumkan masalah kebocoran di 93 lokasi di stesen, kerja-kerja membaik pulih di 21 lokasi di stesen LRT dan monorel telah berjaya disiapkan, manakala bakinya akan diselesaikan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.

Bagi kerja-kerja baik pulih di stesen MRT, proses pembaikan di 22 lokasi kebocoran telah dilakukan dan pemantauan keberkesanan kerja-kerja baik pulih tersebut sedang dilaksanakan.

“Terdapat lokasi kebocoran yang memerlukan lebih masa untuk diselesaikan kerana pembaikan tersebut melibatkan modifikasi kepada struktur atap,” katanya.

Selain itu, Rapid Rail juga  telah menjalankan program pemeriksaan serta penyelenggaran berkala dan buat masa ini bilangan lampu yang tidak berfungsi adalah di bawah satu peratus.

“Kerja-kerja membaik pulih sistem pendawaian dan penggantian mentol yang bermasalah di stesen juga telah hampir selesai. Baki lampu yang masih tidak berfungsi merupakan kerosakan baharu dan penggantian segera akan dilakukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here