BATANG KALI, 23 Dis — Laungan azan sekali lagi berkumandang di tapak pencarian mangsa tragedi tanah runtuh di Gohtong Jaya di sini.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam hantaran di Facebook memaklumkan ia dilaungkan anggota Pasukan Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja Prebet Muhammad Asyraf Ghazali sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelapan.

“Laungan azan sebelum melaksanakan sebarang misi sentiasa dipraktikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ia merupakan satu usaha spiritual dalam mendapatkan petunjuk dan keberkatan daripada Yang Maha Esa.

“Selepas melaungkan azan, doa turut dibaca dan diaminkan oleh anggota pasukan penyelamat yang lain,” menurut kenyataan itu. 

Pasukan pencarian terus bersemangat bagi mengesan seorang lagi mangsa yang hilang, dipercayai kanak-kanak lelaki, setelah Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed semalam melaporkan angka rasmi keseluruhan mangsa terlibat dalam insiden Jumaat lepas (16 Dis) itu adalah 92 orang bukannya 94.

Semalam, empat mayat ditemukan dalam satu gulungan kanvas khemah iaitu seorang lelaki dewasa dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan, sekali gus menjadikan angka kematian sebanyak 30.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) mendapati pengamal media masih setia menunggu sebarang perkembangan lanjut. 

Dalam keadaan cuaca panas, turut kelihatan kenderaan anggota penyelamat keluar masuk menghantar dan mengambil anggota untuk bertukar syif bertugas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here