PUTRAJAYA, 23 Dis — Lesen pengendali syarikat lori, Mun Enterprises yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak pada 29 Ok lepas hingga mengakibatkan kematian seorang bayi, dibatalkan berkuat-kuasa serta-merta.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu susulan kegagalan syarikat terbabit dalam sesi Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), serta mempunyai rekod kesalahan lampau dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melibatkan keselamatan pengguna.

“Tindakan telah diambil di bawah Seksyen 57 (1)(b)(x) dan Seksyen 58 (1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Seksyen 57 akta tersebut merupakan peruntukan mengenai syarat yang boleh dikenakan pada lesen pengendali, manakala Seksyen 58 pula mengenai syarat berkanun lesen pengendali,” menurut kenyataan itu

Dalam kejadian pada 29 Okt itu, bayi berkenaan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama keluarganya merempuh muatan siling yang terjatuh dari lori tersebut kerana dipercayai muatan itu dibawa melebihi had.

Insiden itu tular laman Twitter @isusemasaviral, yang memaparkan rakaman video kemalangan berdurasi 16 saat dan perkongsian keadaan isteri mangsa.

Menurut laporan pemandu lori terbabit telah ditahan di sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli, Kelantan, pada hari yang sama.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata permit operasi syarikat lori itu telah digantung sementara, selain mengarahkan JPJ dan APAD mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori dan syarikat berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here