JOHOR BAHRU, 3 Jan — Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM5.2 juta untuk kerja-kerja membaik pulih Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini, bagi tahun ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) itu merangkumi RM2 juta untuk menaik taraf dan pembaikan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan, yang akan mengambil masa 16 minggu, bermula Mac ini.

Beliau berkata sebanyak RM3.2 juta lagi diperuntukkan untuk proses mengecat blok D, E, F dan G yang akan mengambil masa 20 minggu, bermula April.

“Namun, semua ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen daripada penduduk dan komuniti di PPR ini. Saya memohon agar kita sama-sama bermuafakat dan sepakat menjaga kebersihan serta keceriaan PPR ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz meluangkan masa melawat PPR baru dan sedang dinaik taraf di kawasan itu.

Beliau berkata sebanyak RM14.089 juta diperuntukkan kerajaan negeri pada tahun lepas bagi kerja menaik taraf PPR sama, sekali gus memberi keselesaan kepada 10,967 penduduk.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah menggantikan 21 unit lif; kerja-kerja mengecat blok A, B dan C; dan penggantian semula paip, katanya.

Semasa lawatan hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu diberikan taklimat berkenaan projek Pusat Belia Etiqa Cares, inisiatif sebuah syarikat insurans bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Adab Youth Garage yang membantu murid di PPR berkenaan mengikuti pelajaran di luar waktu persekolahan.

Sempena lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here