SIBU, 6 Jan — Lembaga Lada Malaysia (MPB) menjalinkan kerjasama dengan sebuah universiti tempatan bagi menjalankan kajian menghasilkan baja yang sesuai untuk tanaman lada dengan menggunakan sumber bahan mentah tempatan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kajian itu melibatkan projek perintis tanaman lada menggunakan kaedah pertanian organik yang sedang dilaksanakan di Song, Bahagian Kapit, kira-kira 110 kilometer dari sini.

“Sekiranya (projek perintis ini) berjaya, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia sekali gus mengurangkan kos pengeluaran lada yang perlu ditanggung oleh pekebun kecil lada,” katanya pada sidang media selepas melawat pejabat MPB Sibu hari ini.

Menurutnya harga baja yang tinggi di pasaran pada masa ini menjadi kekangan buat pekebun-pekebun kecil untuk terus mengusahakan komoditi tersebut.

Katanya setakat ini, jumlah kawasan penanaman lada di Bahagian Sibu adalah seluas 494.83 hektar dengan seramai 3,402 pekebun kecil.

Fadillah berkata pada tahun lalu MPB Sibu telah mengagihkan sejumlah RM7.5 juta bantuan lada kepada 346 pekebun kecil yang layak dan daripada jumlah tersebut, seramai 96 orang menerima bantuan di bawah Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) berjumlah RM3.3 juta, sementara 250 orang lagi di bawah Skim Tanaman Lada Matang (STLM) berjumlah RM4.2 juta.

Dalam tempoh sama Pusat Pemprosesan Lada MPB Sibu telah memproses sebanyak 928.67 metrik tan lada hitam dan lada putih bagi tujuan eksport selain berjaya mendapat pengiktirafan Sijil Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) daripada Kementerian Kesihatan setelah memenuhi syarat-syarat pelaksanaan sistem HACCP untuk produk Steam Treated Black Pepper/ White Pepper.

Makmal Analisis MPB Sibu pula berjaya memperoleh akreditasi melalui pensijilan MS ISO/IEC 17025:2017 (Skop Kimia) bagi keupayaan skop analisis dan kualiti pengurusan mengikut piawaian dan standard antarabangsa.

Menurutnya kerajaan akan terus mencari jalan untuk mengekalkan tanaman komoditi itu agar dapat terus dijual sebagai produk premium di peringkat antarabangsa.

“Kita berada pada kedudukan kelima dunia (dalam pengeluaran lada). Walaupun begitu, kualiti lada kita sentiasa dicari dan ada pasaran-pasaran tertentu memilih lada dari Sarawak. Kita perlu rancangkan pengeluaran lada kita agar memenuhi pasaran-pasaran premium dan pasaran umum,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here