JOHOR BAHRU, 8 Jan — Seramai 3,677 pengusaha sektor pertanian agromakanan pelbagai subsektor menerima manfaat daripada 25 program dan projek Program Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di bawah Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 2021 hingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata antara program tersebut adalah Program Peningkatan Pengeluaran Hasil Pertanian, Program Pemilikan Teknologi Mekanisasi, Program Kolaborasi Syarikat Peneraju dan Pengusaha, Program Pertanian Komuniti dan Program Pembangunan Hab Pedaging Ruminan.

“Kerajaan Johor menerusi Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor akan sentiasa memantau perkembangan pelaksanaan projek-projek tersebut agar impak yang optimum dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan mengenai laporan pelaksanaan Program Jaminan Bekalan Makanan negeri hari ini.

Menurut Zahari laporan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada 29 Dis lepas.

Beliau berkata projek di bawah program tersebut dilaksanakan menerusi peruntukan daripada Kementerian Kewangan berjumlah RM34.56 juta.

Katanya enam agensi negeri menerima peruntukan itu iaitu Jabatan Pertanian dengan RM16.6 juta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM5.5 juta), Jabatan Perikanan (RM2 juta), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (RM9 juta), Lembaga Pertubuhan Peladang (RM500,000) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (RM900,000).

Zahari berkata program tersebut bertujuan memperkasa dan melonjak kembali aktiviti sektor pertanian serta agromakanan di negeri ini yang terkesan akibat COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here