KUCHING, 11 Jan — Mempromosikan tenaga hijau akan menjadi antara agenda utama kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan penjagaan dan perlindungan lapisan ozon dunia.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata permukaan bumi kini semakin panas dan manusia perlu mencari cara untuk merendahkan suhu atmospera.

Beliau berkata salah satu cara untuk memperbaiki situasi itu ialah dengan penyelidikan penggunaan hidrogen sebagai sumber bahan api untuk tenaga.

“Air boleh mempunyai efek penyejukan dan air terdiri daripada hidrogen dan oksigen… dan hidrogen merupakan satu bentuk tenaga baharu.

“Sarawak mempunyai banyak air, kita ada empangan yang sangat besar seperti empangan Bakun, sungai dan taburan hujan yang menghasilkan air dan mempromosikan penggunaan hidrogen (sebagai tenaga alternatif),” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap di Konvokesyen ke-7 Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), di sini hari ini.

Sejumlah 1,241 graduan menerima sijil masing-masing ketika majlis konvokesyen tersebut.

Semalam media melaporkan bahawa satu panel pakar antarabangsa yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, lapisan ozon dunia semakin memulih.

Lapisan ozon bertindak selaku lapisan melindungi bumi daripada radiasi sinar ultraviolet matahari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here