PUTRAJAYA, 15 Jan — Pendaftaran bagi menyertai Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2022 secara dalam talian yang akan membincangkan pelbagai inisiatif berkaitan cukai langsung susulan pembentangan Bajet 2023 akan dibuka semula mulai esok.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan seminar itu, yang pendaftarannya boleh dibuat melalui Portal Pendaftaran Seminar https://spk.hasil.gov.my, akan diadakan dalam dua sesi iaitu pada 7 dan 8 Mac depan.

“Dua topik penting yang diketengahkan dalam seminar pada kali ini ialah ‘Cadangan Bajet 2023’ dan ‘Tadbir Urus Percukaian Korporat – Perspektif HASiL’ yang akan dikupas oleh para penceramah berpengalaman yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan LHDN dan juga ahli panel profesional yang mewakili pengamal percukaian.

“Orang ramai khususnya pengamal percukaian, badan perakaunan dan profesional serta pembayar cukai adalah digalakkan untuk menyertai seminar ini untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan pindaan semua Akta yang ditadbir oleh LHDN lanjutan pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan pada 24 Feb ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, SPK 2022 yang sepatutnya berlangsung pada bulan Oktober tahun lepas terpaksa ditangguhkan berikutan keputusan kerajaan untuk membentangkan semula Bajet 2023.

LHDN berkata peserta yang telah membuat pendaftaran SPK 2022 (Sesi 1: 12 Oktober 2022 dan Sesi 2: 13 Oktober 2022), akan secara automatik didaftarkan sebagai peserta bagi Sesi 1: 7 Mac 2023 dan Sesi 2: 8 Mac 2023.

Kenyataan itu memaklumkan peserta yang ingin membuat pertukaran sesi seminar pindaan juga boleh melakukannya mulai esok melalui Portal Pendaftaran Seminar, dan hanya peserta yang telah membuat bayaran penuh yuran penyertaan dibenarkan untuk membuat pindaan sesi.

“Peserta yang telah berdaftar tetapi masih belum membuat bayaran dan ingin mengesahkan penyertaan juga boleh berbuat demikian melalui Portal Pendaftaran Seminar tersebut,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan seminar itu boleh diperoleh dengan menghubungi pihak Urus Setia SPK 2022 (Bajet 2023) melalui e-mel spkhasil@hasil.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here