KANGAR, 1 Feb — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar  pembangunan Kem Pengakap di Jalan Sungai Batu Pahat, dekat sini diberi perhatian memandangkan ia sering digunakan bagi aktiviti perkhemahan anggota Pengakap sekolah dari dalam dan luar Perlis.

Baginda bertitah dengan infrastruktur yang kurang sempurna serta penyelenggaraan terhad, aktiviti di  kem perkhemahan berkenaan tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya, selain dibimbangi boleh membahayakan penggunanya.

“Persekutuan Pengakap Negeri Perlis telah bertapak di situ lebih 50 tahun, jadi sudah tiba masa usaha pembangunan di kem tersebut diberi perhatian.

“Selain itu, semua pihak juga diharap dapat bersama-sama membantu memajukan lagi pergerakan Pengakap di negeri ini,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Arau hari ini.

 Menurut kenyataan itu baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis 2023 di Dewan Serbaguna Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, semalam.

Pada majlis tersebut baginda berkenan menganugerahkan bintang dan pingat Pengakap Perlis kepada  143 penerima termasuk lima dari Thailand kerana jasa dan khidmat bakti mereka kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis dan Pergerakan Pengakap.

Keberangkatan tiba baginda selaku Presiden Diraja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis disambut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Nasarudin Shamsudin dan Ketua Pesuruhjaya l Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Perlis Dr Azmi Abdullah.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti dan Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Zamani Tambichek.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah anggota Pengakap sekolah juga perlu didedahkan dengan ilmu kepimpinan bagi meningkatkan lagi kompetensi masing-masing, selari dengan perkembangan pendidikan kini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here